Voting

Monday, October 12, 2009

Sunday, October 11, 2009

Panduan dalam mendidik anak-anak tentang Pendidikan Iman.

Antara panduan dalam mendidik anak-anak tentang pendidikan iman.

1) Memberi panduan kepada anak-anak tentang cara beriman dengan Allah, kekuasaanNya dan kehebatan Allah mencipta.

Ini boleh dilakukan dengan cara memerhati dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi ketika usia mereka masih kecil. Sebaik-baiknya ini dilakukan secara berperingkat, bermula dari perkara yang mahsus(boleh disentuh dengan pancaindera) kepada perkara yang ma’qul (boleh difikir oleh akal), dari perkara juzuk(sebahagian) kepada perkara kulli (seluruh), dari perkara mudah kepada perkara yang susah, sehingga anak-anak sampai ke tahap yang matang dan iman mereka menjadi mantap yang tidak mungkin lagi dapat dihapuskan keyakinan mereka kepada Allah oleh sesiapa pun.

Dan cara ini ialah cara yang digunakan oleh al-Quran dalam memberi kefahaman kepada manusia.

Antara contohnya;

Firman Allah s.w.t :an-Nahl :10-17
10. Dia lah Yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya.

11. ia juga menumbuhkan bagi kamu Dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari Segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya Yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum Yang mahu berfikir.

12. dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan Dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum Yang mahu memahaminya.

13. dan apa-apa jua Yang dijadikan untuk kamu di bumi Yang berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum Yang mahu mengingati nikmat Allah itu.

14. dan Dia lah Yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging Yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) Engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.

15. dan ia mengadakan di bumi gunung-ganang Yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat Yang kamu tuju.

16. dan (ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan Dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah Yang hendak dituju.

17. kalau sudah demikian, Adakah Allah Yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk-makhluk Yang tidak menciptakan sesuatu? maka Patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?

Firman Allah s.w.t :at-Thaariq :5-10
5. (setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.

6. ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim) -

7. Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.

8. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),

9. pada hari didedahkan Segala Yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya),

10. maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada Penolong (yang dapat memberikan pertolongan).

Dan banyak lagi ayat-ayat yang boleh dipetik daripada al-Quran yang berkaitan.

2) Menanamkan ke dalam jiwa anak-anak khusu’ ,takwa dan ubudiah kepada Allah.

Ini boleh dilakukan dengan cara membuka mata mereka dengan melihat kekuasaan Allah pada setiap perkara, kecil atau besar, benda hidup atau mati, pada tumbuhan yang tumbuh dan melata, pada bunga-bunga yang pelbagai warna dan corak dan banyak lagi pada keajaiban ciptaan Allah s.w.t. Dengan cara ini boleh menyebabkan hati mereka tunduk dan khusyu’ kepada Allah s.w.t dan mengundang rasa takut dan rasa diri sentiasa dilihat oleh Allah s.w.t.

Antara cara memperkukuh khusyu’, memperkasa takwa pada diri anak-anak ialah membiasakan mereka sewaktu kecil supaya khusyu’ dalam solat semampu mungkin dan mengadabkan mereka supaya sedih dan menangis atau pura-pura menangis apabila membaca al-Quran atau mendengar bacaan al-Quran, ini merupakan sifat orang-orang yang soleh dan cirri-ciri mukmin yang sejati.

Lihatlah bagaimana al-Quran memuliakan orang-orang yang khusyu’ dan memuji mereka;

Firman Allah s.w.t :al-Mukminuun :1-2

1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman,

2. Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya;

Firman Allah s.w.t :al-Hajj :34-35

34. dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan Ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak Yang disembelih itu. kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang tunduk taat -

35. Iaitu orang-orang Yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang Yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan Yang menimpa mereka, dan orang-orang Yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang Yang mendermakan sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepadaNya.

Firman Allah s.w.t :Maryam :58

58. mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

Firman Allah s.w.t :al-Hadiid :16
16. belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang Yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) Yang diturunkan (kepada mereka)? dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang Yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa Yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang Yang fasik - derhaka.

Khusyu’, patuh, bersedih dan menangis apabila membaca al-Quran adalah sifat nabi s.a.w, para sahabat dan juga orang-orang soleh. Ibnu mas’ud menceritakan suatu ketika nabi s.a.w mengarahkannya membaca al-Quran dan nabi mendengarnya sehingga sampai kepada surah an-Nisa’ ayat 41, nabi s.a.w mengarahkannya berhenti dan Ibnu Mas’ud melihat nabi menangis.

Untuk melatih anak-anak khusyu’ dan menangis adalah sukar, tetapi dengan kesungguhan dan didikan yang berterusan insyaAllah kita dapat melakukannya.


3) Mendidik anak-anak sifat Muraqabah(Allah sentiasa memerhati) dalam setiap perbuatan, perkataan dan keadaan.

Ini dilakukan dengan cara membiasakan mereka supaya merasakan bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhati mereka, mengetahui apa yang nyata dan tersembunyi dan ini merupakan perkara yang sangat penting dalam mendidik anak-anak. Ini boleh berlaku dalam tiga keadaan;

1) dalam pekerjaan

2) cara berfikir

3) dalam perasaan

1) Dalam pekerjaan
ajarlah mereka supaya bekerja dengan ikhlas kerana Allah s.w.t pada setiap perkataan, perbuatan dan semua urusan supaya mereka mengharapkan reda Allah dan setiap pekerjaan dimulakan dengan niat kerana Allah, maka terserlahlah ketika itu ubudiah atau perhambaan diri kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :al-Bayyinah :5
5. pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar.

Begitu juga perlu disampaikan kepada anak-anak bahawa Allah tidak akan menerima setiap pekerjaan yang dilakukan bukan keranaNya dan bukan kerana mencari redaNya.

Sabda nabi s.a.w;
“ Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan menerima pekerjaan kecuali yang dilakukan ikhlas dan mencari reda Allah s.w.t”. (riwayat Bukhari dan Muslim)

2) Cara berfikir
Ajarlah anak-anak cara berfikir yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, yang boleh memberi manfaat kepada diri, masyarakat dan juga negara. Wajib mengajarkan kepada anak-anak supaya mengikut apa yang dibawa dan diajar oleh nabi s.a.w. Begitu juga perlu diajar kepada anak-anak supaya muhasabah diri sehingga mereka menghindarkan diri melakukan kejahatan walaupun hanya lintasan hati dan fikiran.

3) Dalam perasaan
Ajarkan anak-anak supaya berperasaan baik dan bersih, tidak boleh hasad dengki, menghina orang lain, membuat fitnah dan mengikut nafsu syahwat yang buruk. Setiap kali nafsu jahat menguasai diri ingatlah bahawa Allah bersamanya melihat dan mendengar. Inilah apa yang diajarkan oleh nabi s.a.w apabila menjawab soalan dari Jibril a.s mengenai Ihsan.

Sabda nabi s.a.w;
“ Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah, jika kamu tak melihat Allah sekalipun sesungguhnya Allah melihat kamu.

Firman Allah s.w.t :al-A’raaf :200-201
200. dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

201. Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka Dengan itu mereka nampak (jalan Yang benar).

Imam al-Ghazali menceritakan satu kisah dalam kitabnya (Ihya’ ulumuddin)

“ Sahal Bin Abdullah at-Tastari berkata; “Ketika aku berumur tiga tahun, aku bangun pada waktu malam, aku dapati bapa saudaraku sedang solat sunat. Suatu hari dia berkata kepadaku; “ Tidakkah engkau ingat kepada Allah yang telah menciptamu? Aku bertanya kepadanya, bagaimana cara untuk ingat kepada Allah s.w.t.?katanya; “ katakan dengan hatimu setiap kali kamu ingin tidur tiga kali dengan tidak menggerakkan lidahmu : Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menyaksikanku. Aku melakukannya beberapa malam dan memaklumkan kepada bapa saudaraku. Kemudian dia menyuruhku mengatakan perkataan yang sama sebanyak tujuh kali, kemudian sebelas kali, aku melakukannya selama setahun kemudian dia berkata padaku teruskan sehingga kamu masuk ke lubang kubur.Setelah beberapa tahun bapa saudaraku bertanya kepadaku; “wahai Sahal jika seseorang yakin Allah bersamanya, melihatnya dan menyaksikannya adakah dia akan melakukan maksiat kepada Allah? Ingatlah jauhilah maksiat.

Akhirnya Sahal menjadi salah seorang ulama besar dalam kalangan para solehin hasil didikan bapa saudaranya yang telah menanam ke dalam jiwanya rasa takut kepada Allah s.w.t sejak dari kecil.

Wednesday, October 7, 2009

Tarbiah Akhlak.... Muqaddimah..

Tarbiah Akhlak(Muqaddimah)

Maksud tarbiah akhlak ialah kumpulan asas-asas akhlak dan keistimewaan perangai dan perasaan yang wajib diajarkan oleh ibu bapa kepada anak-anak dan membiasakannya sejak dari kecil sehingga mereka membesar menjadi dewasa dan berpegang teguh dengan akhlak tersebut.
Tidak dinafikan bahawa keistimewaan akhlak, perangai dan perasaan ialah buah atau hasil daripada pendidikan iman yang mantap.
Kanak-kanak sejak dari kecil jika dididik beriman kepada Allah, takut kepada Allah, sentiasa merasakan Allah melihatnya (muraqabah) sentiasa berpegang kepada Allah, sentiasa minta pertolongan dari Allah dan sentiasa berserah kepada Allah maka sifat semulajadinya dan perangainya akan mengikut akhlak yang mulia.
Kerana kekuatan agama yang sudah berakar umbi dalam dirinya, sifat sentiasa merasakan Allah sentiasa melihatnya sudah sebati dengan dirinya dan sikap muhasabah diri yang menguasai dirinya akan menjadi penghalang antara dia dan maksiat, bahkan dia akan mudah untuk melakukan ibadah dan kebaikan kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepadanya.
Jika pendidikan anak-anak jauh dari aqidah islam, tidak ada motivasi agama dan hubungan dengan Allah maka anak-anak akan menjadi rosak dan sesat, bahkan akan mengikut hawa nafsu, hasutan syaitan dan seleranya.
Jika seleranya suka berfoya-foya maka dia akan hidup sebagai manusia yang lalai, hidup seperti mati, ada seperti tiada, hidupnya tidak disanjung dan matinya tidak dirasai kehilangannya.
Jika seleranya seperti haiwan maka dia akan hidup berlandaskan hawa nafsu, tidak ada halal dan haram, tidak ada rasa malu, bertindak tidak berdasarkan akal yang waras dan tidak ada undang-undang dalam hidupnya.
Jika seleranya seperti syaitan maka dia akan sentiasa merancang untuk menipu, memecah belahkan masyarakat, mengajak melakukan maksiat, menimbulkan permusuhan antara sesama manusia.
Oleh itu hanya tarbiah iman sahaja yang boleh memperbetulkan kerosakan dan mengislah manusia tanpanya maka tidak akan ada kebaikan.
Maka bukanlah perkara pelik apabila syariat islam telah memberi perhatian serius terhadap pendidikan iman dan akhlak dan memberi panduan kepada umat islam untuk membentuk peribadi anak-anak dengan akhlak yang mulia.
Antara panduan penting untuk mendidik anak-anak dari sudut akhlak dan perangai.1) sabda nabi s.a.w;“ tidak ada hadiah yang lebih istimewa yang diberikan oleh seorang bapa kepada anaknya selain dari adab yang baik”.
(riwayat at-Tirmizi)2) sabda nabi s.a.w;“muliakan anak-anak kamu dan didiklah mereka dengan adab yang baik”. (riwayat Ibnu Majjah)3) sabda nabi s.a.w;“antara hak seorang anak ke atas bapanya ialah memperbaik akhlaknya dan namanya”. (riwayat al-Baihaqi)
Pengajaran daripada hadis-hadis ini ialah wajib ke atas para pendidik lebih-lebih lagi ibu bapa mendidik anak-anak kebaikan dan mengajar mereka asas-asas akhlak yang mulia.
Kewajipan ini adalah menyeluruh samada berkaitan dengan jiwa, memperbetulkan kesilapan, meningkatkan daya saing mereka dan bergaul dengan mereka dengan penuh hikmah.
Wajib mendidik mereka sejak kecil sifat amanah,benar,istiqamah,mengutamakan orang lain,menghormati orang tua,memuliakan tetamu, membuat baik kepada jiran dan kasih kepada orang lain.Dalam masa yang sama wajib membersihkan lidah anak-anak dari segala bentuk sifat keji seperti menghina.mencela,memfitnah,lucah dan lain-lain.Bersambung………..Petikan ringkas dari kitab Tarbiah Aulad bab pendidikan akhlak.